Malaysia Dateline

37 sudah meninggal, 10 lagi masih hilang

Ketua Polis Negara mengesahkan, 37 telah meninggal manakal 10 lagi masih hilang akibat banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas.

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan perkara ini dalam sidang media di Taman Sri Muda, Shah Alam pagi ini.

Sebanyak lima mayat – empat dewasa dan seorang kanak-kanak – ditemui semalam.

“Secara kolektif, 37 mangsa telah meninggal dunia dan 10 masih hilang,” katanya.

Tambahnya, dua lagi mangsa dilaporkan hilang semalam.

Setakat ini katanya seramai 68,341 mangsa telah dipindahkan ke 396 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri dan wilayah persekutuan.

“Negeri terkesan banjir ialah Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.

Acryl  mengakui berlaku kelewatan dalam penyelarasan antara agensi dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa sejak hari pertama bencana banjir berlaku di Sri Muda, Shah Alam.

Beliau berkata, kelewatan operasi peringkat awal itu antara lain disebabkan kepadatan penduduk.

Menurutnya, situasi ini berbeza dengan Pantai Timur kerana penempatan dan kepadatan penduduk di kawasan banjir yang lebih rendah.

“Saya lihat dalam insiden banjir di Shah Alam, memang koordinasi semua organisasi agak perlahan pada peringkat awal. Namun selepas hari kedua, kami telah gerakkan semua agensi.

“Di Shah Alam kebanyakan mangsa banjir tinggal di rumah teres dan pangsa yang mana kepadatan penduduknya berbeza daripada di Kelantan, Pahang dan Terengganu,” katanya