Manifesto BN tiada pembaharuan, statik, ulangi polisi lama

Manifesto BN tiada pembaharuan, statik, ulangi polisi lama

Faiz Fadzil calon Amanah di Dun Permatang Pasir menyerahkan sumbangan bersama kepada salah seorang penduduk di kawasan berkenaan.

Jika dilihat pada Manifesto BN yang telah dipersembahkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjurus kepada apa-apa ‘reform’, sebaliknya ia hanya merupakan polisi lama yang diulang-ulang.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil (gambar kanan) ketika ditemui semasa program turun padang di kawasan Dun Permatang Pasir.

Menurut beliau lagi, penambahan nilai kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan bantuan ‘one-off’ lain tidak dapat mengubat derita rakyat yang semakin ditekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Pemberian ‘one-off’ hanya bagi jangkamasa yang pendek dan singkat.

“Sedangkan tol dan harga minyak tidak dikurangkan dimana ia tidak memberi sebarang impak kepada harga barangan yang tinggi, malahan akan melonjak naik.

“Kegagalan ikrar BN untuk menghapuskan rasuah turut tidak akan mengembalikan kepercayaan pelabur serta tidak juga mampu mendorong kenaikan nilai ringgit, ” jelasnya lagi.

Kata Faiz lagi, cukai GST yang tidak dihapuskan akan turut dinaikkan lagi kerana kedudukan ekonomi negara yang semakin buruk jika BN terus kekal berkuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14.

Faiz Fadzil turut menyantuni warga emas di Dun Permatang Pasir.

“Sejujurnya boleh dikatakan tiada penyelesaian secara holistik dan efisien berkaitan janji-janji lain seperti hak Sabah dan Sarawak dalam perjanjian Malaysia 1963.

“Selain itu, pemerkasaan Mahkamah Syariah, peningkatan keselamatan dan seumpamanya lebih condong kepada janji kosong walaupun sepatutnya ia ditangani, tetapi gagal.

“Apatah lagi dalam janji pemerkasaan Mahkamah Syariah, janji meluluskan Rang Undang Undang 355 melalui usul persendirian Pas sebelum ini dijadikan sebagai alat politik, ” ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya rakyat tidak harus terpedaya dengana pelbagai janji yang sedang ditaburkan oleh BN.

“Seharusnya BN muhasabah diri dan melihat kembali satu persatu janji-janji mereka sebelum menang PRU ke 13 yang lalu.

“Adalah tidak wajar sekiranya senantiasa menabur janji demi janji menjelang PRU.

“Sepatutnya BN melaksanakan seribu satu macam janji yang telah mereka laung-laungkan sejak PRU ke 12 maupun ke 13 yang lalu, ” tegasnya.

Tambahnya lagi, rakyat disaran supaya tidak termakan dengan janji-janji manis BN melalui manifesto yang mereka lancarkan kelmarin.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS