3,725 kini di pusat pemindahan, gerakan menyelamat dipertingkatkan

3,725 kini di pusat pemindahan, gerakan menyelamat dipertingkatkan

Situasi banjir di Kelantan semakin buruk dengan semua jajahan kini terlibat.

Sebanyak 56 pusat pemindahan kini beroperasi dengan jumlah mereka yang dipindahkan meningkat kepada 3,725 orang seperti yang dilaporkan di portal e banjir petang semalam.

Semua jajahan di Kelantan sehingga petang semalam kini terlibat banjir.

Air di kedua-dua Sungai Golok dan Sungai Kelantan telah melebihi tebing petang semalam menyebabkan kawasan-kawasan berhampiran dan kawasan-kawasan rendah dinaiki air.

Selain menyelenggara pusat-pusat pemindahan, pasukan-pasukan menyelamat dan membantu mangsa banjir digerakkan ke kawasan-kawasan terlibat.

Dalam tinjauan ke Rantau Panjang petang semalam, sepasukan bantuan kelolaan pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri bergerak menyampaikan bantuan awal ke kampung-kampung terlibat.

Ketua Pemuda PH Kelantan Roslan Ismail berkata, untuk sementara waktu sebuah kedai di hadapan masjid Lubok Jong dijadikan sebagai pusat operasi.

“Sebuah kenderaan khas dihantar ke kawasan-kawasan biasa berlaku banjir untuk mengenal pasti bentuk bantuan yang perlu disegerakan.

“Sehingga ini kami telah berjaya mengumpul lapan kenderaan pacuan empat roda yang akan digerakkan bagi menghantar keperluan segera seperti makanan dan air bersih,” katanya.

Sepasukan bantuan kelolaan pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri bergerak menyampaikan bantuan awal ke kampung-kampung terlibat di Rantau Panjang.

Dalam operasi petang semalam Roslan berkata, kumpulannya telah menghantar bantuan ke kampung Serungga dan Seberang Merbau.

“Jalan masuk ke kampung ini sudah tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan dan pasukan bantuan kami terpaksa bergerak perlahan bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

“Begitu pun satu kenderaan kami telah tergelincir ke dalam parit di tepi jalan dan kami mengambil masa setengah jam untuk mengangkat naik kenderaan tersebut,” katanya.

Bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk, sukarelawan yang bersama pasukan itu terpaksa memikul barang-barang sambil mengharung air banjir yang sudah sampai ke paras pinggang.

“Walaupun kami memberi nasihat supaya penduduk segera berpindah, kebanyakan mereka enggan kerana bimbang keselamatan rumah dan ternakan masing-masing,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES