Kerajaan Negeri Pulau Pinang naikkan peruntukan sekolah pendidikan Islam

Kerajaan Negeri Pulau Pinang naikkan peruntukan sekolah pendidikan Islam

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap memberi perhatian kepada perkembangan hal ehwal agama Islam walaupun dikecam oleh MCA dan juga Umno.

Sebaliknya segala serangan yang dilakukan terhadap kerajaan negeri tidak akan melunturkan semangat untuk terus menjaga kebajikan insitusi pendidikan Islam.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz, Pondok, Tadika Islam dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Penanti, Permatang Pauh semalam.

Tegas beliau lagi, kerajaan negeri telah memberikan sumbangan tambahan sebanyak RM17.5 juta dalam bentuk wang tunai bagi tahun 2018.

“Ia merupakan tambahan kepada RM1.75 juta yang telah diumumkan pada tahun lalu, dimana dianugerahkan dalam bentuk projek.

“Ini menjadikan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM57 juta.

“Manakala jumlah sebanyak RM57 juta ini tidak termasuk kos pengambilan tanah bagi membina Sekolah Agama Rakyat, ” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, jumlah peruntukan bagi hal ehwal agama Islam telah pun ditingkatkan kepada RM457.05 juta bagi tempoh 2008 sehinggalah 2016.

“Sekiranya dibandingkan dengan pemerintahan BN pada tempoh yang sama sejak 1999 sehingga 2007 mereka hanya menyalurkan peruntukan untuk perkara yang sama sebanyak RM249.09 juta sahaja.

“Sebaliknya kerajaan negeri juga telah menaikkan peruntukan pembangunan sekolah pendidikan Islam sebanyak RM57.64 juta sejak tahun 2008 sehinggalah 2016.

“Namun begitu jika dibandingkan dengan kerajaan zaman BN dahulu antara tahun 1999 sehinggalah 2007 mereka hanya memperuntukan sebanyak RM20.11 juta sahaja, ” jelasnya.

Pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang semasa majlis penyampaian sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat di Permatang Pauh.

Tambahnya lagi sebagai bukti kepedulian kerajaan negeri terhadap perkembangan institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang, sebuah bangunan baru iaitu Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, Penanti, Permatang Pauh setinggi tiga tingkat telah pun dibina dengan kos sebanyak RM1.3 juta.

Sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini turut melibatkan 9 buah Sekolah Agama Rakyat dengan peruntukan sejumlah RM334,900.

Selain itu ia turut diberikan kepada 11 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM216,900.

Sebanyak 10 Sekolah Rendah Agama Rakyat turut menerima peruntukan yang berjumlah RM472,300 kali ini.

Maahad Tahfiz yang menerima peruntukan kali ini adalah sebanyak 37 buah dengan jumlah sumbangan yang diberikan adalah sebanyak RM168,584.

Tidak ketinggalan ialah Sekolah Agama Rakyat – Kafa Integrasi yang berjumlah 105 buah dengan peruntukan sebanyak RM467,400.

Sebanyak 9 buah Pondok turut menerima sumbangan kerajaan negeri yang berjumlah RM90,000 serta Tadika Islam yang berjumlah 15 buah juga menerima sumbangan yang berjumlah RM32,148.

Terbukti konsep untuk mencontohi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi teras perjuangan kerajaan negeri pada tahun 2008 membawa kejayaan kepada insitusi agama Islam di negeri ini.

Satu keluarga satu huffaz yang dipraktikkan secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan negeri pada tahun 2009 dengan memberi penghargaan kepada para huffaz di Pulau Pinang juga tidak pernah dilaksanakan oleh pemerintahan sebelum ini.

Ternyata pemerintahan kerajaan negeri sejak 2008 sehinggalah kini telah berjaya membawa perubahan besar khususnya program kebajikan maupun yang melibatkan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

4.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 1.0