Malaysia Dateline

375 kes baharu Covid-19, 5 kematian dicatat hari ini

Kes baharu jangkitan Covid-19 terus kekal tiga angka dengan 375 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini berjumlah 14,368 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu daripada jumlah kes baharu tersebut, 371 kes adalah penularan dalam negara.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini pula mencecah 3,703 kes dengan 60 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, terdapat lima kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan akibat jangkitan Covid-19 sebanyak 146 kematian.

Negeri Sabah masih mencatatkan kes tertinggi dengan 271 kes diikuti Selangor (36) dan Kedah 16 kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan masing-masing merekodkan 10 kes.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham sekali lagi mengingatkan kepentingan duduk di rumah ketika negara berada dalam gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

“Saya menggesa rakyat Malaysia untuk semua duduk di rumah. Kalau ada urusan penting di luar rumah pastikan amalkan 3W dan elakkan 3S.

“Pastikan jarak satu meter, pakai pelitup muka dan elak berada dalam kawasan yang sesak sertakan pastikan tidak sembang dalam jarak dekat,” katanya pada sidang media Covid-19 secara atas talian menerusi Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sebelum ini juga adalah untuk orang ramai duduk di rumah.

“Kalau kita duduk di rumah kita akan dapat memutuskan rantaian jangkitan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, amalan 3W pula merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Peringatan tersebut seperti elak bersalaman atau bersentuhan, mengamalkan etika batuk dan bersin serta mendapatkan rawatan segera jika bergejala.

Sementara itu, konsep 3S atau 3C ialah menjauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).