3,750 kedai runcit koperasi akan mula laksana BA 100 berperingkat

3,750 kedai runcit koperasi akan mula laksana BA 100 berperingkat

Sebanyak 3,750 rangkaian kedai runcit milik koperasi berdaftar dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) akan melaksanakan program Barang Asas 100 (BA 100) secara berperingkat bermula awal bulan depan.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata buat permulaan, sebanyak 300 koperasi peruncitan sekitar Lembah Klang akan mula melaksanakan program ini menggunakan sistem khas dan akan menawarkan harga barangan asas lebih murah sehingga 20 peratus berbanding pasaran biasa.

“Sistem khas itu dibangunkan bersama sebuah syarikat bumiputera itu dikenali sebagai Barang Asas Retail Platform (BARP) untuk membantu koperasi peruncitan mendapatkan bekalan barangan asas terus daripada pengilang.

“Harga barangan yang ditawarkan lebih murah kerana koperasi membeli terus daripada pengeluar tanpa melibatkan orang tengah dan kita menjangkakan seramai 6.5 juta anggota Angkasa bakal menikmati kemudahan itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program “Coop Care – Laman Angkasa” di Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak Berhad, di sini yang turut dihadiri oleh pengetuanya Nik Jasmi Nik Yaacob.

Abdul Fattah juga berkata, sasaran Angkasa ialah semua koperasi peruncitan menggunakan sistem ini bagi menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding sistem konvensional sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata, ANGKASA meminta kerajaan supaya memberi peluang kepada gerakan koperasi yang ada untuk terbabit sama dalam pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Setakat ini kita ada sekurang-kurangnya 400 koperasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan. Selain itu, koperasi juga boleh terbabit dengan membuka premis perniagaan di stesen ECRL yang akan dibuka nanti,” katanya.- BERNAMA