376 terima bantuan awal persekolahan di kawasan Santubong

376 terima bantuan  awal persekolahan di  kawasan Santubong

Seramai 376 murid dari sekitar kawasan Santubong telah menerima bantuan awal persekolahan pada Program ‘ Jom Ke Sekolah 2020’.

Penyelaras Program, Muhammad Hafiz Razi berkata, murid-murid yang menerima sumbangan di kawasan Santubong adalah terdiri daripada empat buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan(SK)Pajar Sejingkat, SK Senari, SK Beradek dan SK Tanjung Bako.

Katanya,dalam program itu,murid-murid telah menerima sumbangan berupa pakaian sekolah, kasut dan peralatan tulis.

“Semoga dengan adanya sumbangan yang diberikan itu akan dapat membantu para ibubapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak mereka nanti.

“Selain itu kita juga berharap agar bantuan yang dihulurkan ini akan memberi semangat dan suntikan kepada murid-murid dalam melahirkan generasi yang cemerlang kelak,”katanya.

Muhammad Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Jom Ke Sekolah Kawasan Santubong di SK Pajar Sejingkat di Kuching semalam.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan iaitu Ismail Yahaya.

Yayasan Taqwa merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Muhammad Hafiz menambah, program kali ini merupakan tahun ke-10 sumbangan dan bantuan berkenaan dilaksanakan pihaknya melibatkan penerima di kawasan luar Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, keseluruhannya seramai kira-kira 14,000 murid-murid telahpun menerima bantuan tersebut di seluruh negara.

“Alhamdulilah…kali ini merupakan tahun ke-10 program ini berlangsung dengan seramai 14,000 murid-murid yang kurang berkemampuan telah menerimanya daripada seluruh negara.