37,986 penyakit  HMFD seluruh negara sehingga Julai, kata Menteri Kesihatan

37,986 penyakit HMFD seluruh negara sehingga Julai, kata Menteri Kesihatan

Sebanyak 37,986 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HMFD) direkodkan di negara ini sejak Januari hingga 26 Julai lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes berkenaan meningkat di semua negeri berbanding tahun lalu kecuali di Sarawak.

“Jumlah kes wabak HFMD yang dilaporkan adalah 1,903 dengan 539 premis ditutup di seluruh negara iaitu 241 taska, 259 tadika/pra-sekolah, dan beberapa kelas di 39 sekolah ditutup.

“Daripada 39 sekolah, sembilan daripadanya ditutup secara keseluruhan iaitu tujuh sekolah di Sabah dan masing-masing sebuah sekolah di Pahang dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 peringkat Kebangsaan di Residensi Warnasari, Bandar Puncak Alam di sini, hari ini lapor BHonline.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan kes yang paling tinggi iaitu 11,349 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 4,428 kes serta Sarawak (4,412 kes).

Katanya, Kementerian Kesihatan turut bekerjasama dengan agensi dan syarikat berkaitan untuk pelaksanaan lima amalan bagi mengawal serta mencegah HFMD.

“Lima amalan berkenaan adalah penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah serta disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar.

“Buat masa ini 11 syarikat bekerjasama dengan pihak kementerian untuk kempen pencegahan HFMD dan antara yang sudah cergas menyediakan pencuci tangan antibakteria (sanitizers) dan risalah adalah Unilever dan Mundipharma,” katanya.

Dr Dzulkefly Ahmad (baju hitam tengah) bersama penduduk membersihkan sekitar kawasan perumahan pada Program Gotong Royong Mega 1.0 “Perangi Aedes” Peringkat Kebangsaan 2018 di Residensi Warnasari 1, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. 

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES