Wan Anwar berkorban, Sany sambung perjuangan di Taman Templer

Wan Anwar berkorban, Sany sambung perjuangan di Taman Templer

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dun Taman Templer, Mohd Sany Hamzan menghargai pengorbanan Timbalan Ketua AMANAH Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim yang memberi laluan kepadanya untuk bertanding di N15 itu.

Menurutnya, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal calon di Dun itu merupakan pimpinan anak muda yang berjiwa besar.

“Saya terharu dan sejuta penghargaan diucap kepada Wan Anwar serta AMANAH Selayang kerana menerima saya untuk terus bekerja bersama-sama di sini dalam usaha kita memenangkan PH ke Putrajaya.

“Saya juga bangga kerana budi baik dan kepimpinan Wan Anwar yang berlapang dada dan berjiwa besar demi AMANAH dan PH.

“InsyaAllah, peluang terbuka luas kepada beliau pula untuk ditabalkan sebagai calon bertanding pada pilihan raya penggal akan datang,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Penyelaras Pusat Peduli Rakyat (PPR) AMANAH Selayang, Wan Anwar, 35, yang dikatakan sebagai calon N15 sebelum ini giat memperkenalkan AMANAH kepada akar umbi dan menyantuni masyarakat setempat sejak dua lalu.

Ini termasuklah secara tidak rasmi menawarkan khidmat nasihat guaman secara berkala kepada penduduk di Pangsapuri Merak di Bukit Idaman iaitu salah satu daerah mengundi di Dun tersebut.

Walau bagaimanapun, rundingan pembahagian kerusi PH di Selangor yang memakan masa panjang untuk dimuktamadkan kemudiannya menyaksikan Wan Anwar bertindak menyerahkan Dun Taman Templer kepada Sany.

Pada masa sama, Sany yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional bakal bertanding sebelum ini di Dun Dusun Tua dalam Parlimen Hulu Langat tetapi N23 itu akhirnya dimiliki DAP apabila meletakkan Edry Faizal Yusof.

Pemilihan Ahli Majlis Perbandaran Selayang berkenaan sebagai calon di Dun yang disandang Pas itu sekali gus menyaksikan DAP bertanding 16 kerusi Dun di negeri PH tersebut.

Ditanya tentang pertukaran itu, Sany menyifatkan fasa pada masa sekarang lebih kepada memperkenal calon PH di Taman Templer memandangkan jentera AMANAH Selayang telah merintis usaha mendekati masyarakat setempat melalui penubuhan PPR sejak Disember 2015 lagi.

“Memang diakui bertanding di tempat sendiri (Dusun Tua) mungkin ada sedikit kelebihan. Namun, apabila kita diarah oleh parti untuk bertanding di Dun Taman Templer, kita bersedia menerimanya.

“Lagipun, jentera AMANAH Selayang dan Wan Anwar sendiri sebagai penyelaras AMANAH di Dun ini sudah bekerja dari awal dalam usaha mempromosi AMANAH,” ujarnya.

Sany Hamzan (tengah) bersama Wan Anwar (kiri) dan penyandang Parlimen Selayang William Leong.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar mana-mana jentera pilihan raya PH khususnya AMANAH tidak merajuk sebaliknya terus komited menyumbang kemenangan kepada PH di peringkat negeri sekali gus ke Putrajaya.

“Tempoh dua minggu sebelum membuang undi, 9 Mei ini adalah fasa untuk kita sama-sama manfaatkan dengan menemui pelbagai segmen pengundi.

“Di Dun Taman Templer sendiri, kami terus mengadakan siri ceramah menerangkan tawaran PH apabila mendapat mandat di Putrajaya dan menemui orang ramai di pasar malam dan pasar pagi yang dianggarkan berjumlah 10 buah di Dun ini.

“PH juga edar risalah selain mendengar masalah masyarakat setempat serta meneruskan kunjungan dari rumah ke rumah,” jelasnya.

Mengulas kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya terhadap Dun itu, beliau berkata, berlaku perpindahan ribuan pengundi yang sebelum ini mengundi Pas pada PRU lalu.

“Di Dun Taman Templer ini pun lebih 9,000 pengundi yang majoritinya Cina dipindah ke Dun Bukit Lanjan.

“Padahal, ada sehingga 35 peratus pengundi Cina yang sebelum ini memberi undi kepada Pas yang lima tahun lepas bersama Pakatan,” katanya lagi.

8.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 7.0