Malaysia Dateline

4 Armada hilang, kali terakhir di Ibu Pejabat SPRM

Armada Bersatu gagal mengesan empat rakan mereka sejak jam 3 pagi tadi selepas kali terakhir mereka dikesan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Namun begitu, pada jam tujuh pagi, Armada memaklumkan mereka baru diketahui selamat.

Ke empat-empat mereka adalah Adam Mukhriz, Hannan Khairy, Redzuan Shafi dan Daniel Khushairi, kata Ketua Penerangan Armada, Ulya Husamudin.

“4 orang Armada kami telah hilang. Kesemuanya tempat terakhir adalah di SPRM Putrajaya,” tulis Ulya dalam facebooknya jam 3 pagi tadi.

Sehubungan itu, Ulya mendesak agar tindakan menekan dan mengacau mereka dihentikan.

“Tolong hentikan intimidasi politik ini. Kalau mahu tahan sila ikut prosedur dan undang-undang.

“Ini bukan caranya,” kata Ulya dalam posting itu.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan medianya, Ulya memaklumkan pimpinan Armada ditahan satu persatu.

“Kononnya untuk siasatan tetapi tiada jelas pun pertuduhan. Segala perbelanjaan dan sumber kewangan sebelum ini sentiasa dimaklumkan kepada Pengerusi dan Presiden,” katanya.

Menurut Ulya juga, mereka yang ditahan dikaitkan dengan pendedahan dan permohonan agar audio agihan GLC oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat oleh SPRM.

“Yang dedahkan kemungkaran pula ditahan dan ditekan,” kata Ulya.

Bagaimanapun, sebelum ini, SPRM menafikan tahanan itu dibuat berkaitan dengan audio ‘scheme of thing’ yang dikatakan suara Muhyiddin itu tetapi siasatan mengenai kehilangan wang oleh ketua mereka, Syed Sadiq Abdul Rahman.