4 calon sah bertanding di PRK Semenyih 2 Mac ini

4 calon sah bertanding di PRK Semenyih 2 Mac ini

Pilihan Raya Kecil Dun Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon bebas.

Pertembungan empat penjuru itu membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, Muhammad Aiman Zinali (PH), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (bebas) atau lebih dikenai Uncle Kentang.

Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Semenyih Datuk Mohd Sayuthi Bakar, pada kira-kira 10.25 pagi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang, kira-kira 12 kilometer dari pekan Semenyih.

Proses pencalonan yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.

Mohd Sayuthi berkata borang pencalonan Muhammad Aiman diserahkan pada 9.03 pagi, Zakaria berbuat demikian pada 9.05 pagi, manakala Nik Aziz Afiq dan Kuan masing-masing pada 9.10 pagi.

Calon BN Zakaria mendapat undi nombor satu, calon PH Aiman pada kedudukan nombor 2, calon bebas Uncle Kentang pada kedudukan nombor 3 dan calon PSM Nik Aziz pada kedudukan nombor 4 di atas kertas undi nanti.

Kerusi DUN Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar memperoleh 23,428 undi sekali gus mengetepikan Datuk Johan Abdul Aziz daripada BN, Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM). Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 pada Mei tahun lalu – yang pertama di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).