Malaysia Dateline

4 insiden Dewan Rakyat dianggap memalukan dan buang masa

Empat insiden yang berlaku di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini membabitkan sikap Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dianggap sebagai memalukan dengan begitu banyak masa dibazirkan untuk hal-hal remeh.

Setakat semalam sahaja, dewan kecoh dengan tindakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin yang didakwa membuat isyarat tidak senonoh kepada Dewan Rakyat dengan menunjukkan jari tengah kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Willie harus digantung tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen kerana tindakannya yang tidak jujur untuk mengaku, malah menafikan bahawa beliau telah menunjukkan sikap tidak senonoh itu.

“Rakaman video prosiding Parlimen menjadi bukti bahawa Willie Mongin telah menunjukkan sikap tidak senonoh.

“Insiden kedua pula berhubung jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, bahawa laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2019 tidak akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

“Saya mendesak Kabinet Muhyiddin untuk menarik balik keputusan itu dan menetapkan bahawa laporan tahunan Suhakam harus dibahaskan di Parlimen setiap tahun, sekaligus menegaskan bahawa Malaysia akan tetap komited dalam perjuangan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku kini memperlihatkan negara mula kembali kepada titik mula dengan mengabaikan laporan Suhakam seperti yang berlaku semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Kit Siang juga mengkritik tindakan tidak bertanggungjawab Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang tidak menggulung sendiri perbahasan berkaitan peruntukan kementeriannya dalam Belanjawan 2021 walaupun beliau berada di Parlimen.

Katanya, Khairuddin hanya muncul di dewan semasa sesi undi belah bahagi dijalankan untuk memastikan peruntukan untuk kementeriannya diluluskan.

“Inilah contoh terburuk kakistokrasi di mana seorang Menteri tidak berani bertentang mata dengan Ahli Parlimen untuk menjawab kritikan terhadap kementeriannya,” katanya lagi.

Selain itu, Kit Siang membangkitkan semula insiden Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahya yang secara tidak sengaja menandakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai bersetuju dalam senarai undi, sedangkan beliau tidak hadir semasa pengundian dibuat.

Menurutnya, ia tidak timbul soal salah kira, tetapi Shabudin sebenarnya telah mengabaikan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai penghitung undi dalam pengiraan undi belah bahagian di Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 47 (1).