Malaysia Dateline

4 juta data bocor: PH gesa siasatan telus, jangan ada campur tangan

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan menggesa supaya kerajaan meneruskan siasatan teliti dan telus tanpa melibatkan campur tangan daripada mana-mana pihak berhubung kebocoran 4 juta data peribadi awam yang dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab.

PH menegaskan, kebocoran data membabitkan nama, alamat e-mel, nombor telefon bimbit, alamat tetap, dan nombor kad pengenalan itu merupakan satu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius.

Ini katanya, boleh mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuklah penipuan dan kecurian identiti, serta boleh mengakibatkan keselamatan negara dikompromi.

“Ia juga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keselamatan dan integriti data yang disimpan di pangkalan-pangkalan data badan-badan awam seperti JPN dan LHDN.

“justeru, keputusan siasatan wajib dimaklumkan kepada orang ramai setelah selesai supaya benar-benar dapat meyakinkan orang ramai bahawa data peribadi mereka masih selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara AMANAH, Faiz Fadzil; PKR, Syed Ibrahim Syed Noh; dan DAP, Syahredzan Johan.

Terdahulu, satu forum perbincangan digital melaporkan bahawa pangkalan data milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum terkenal.

Menurut forum berkenaan, empat juta data peribadi awam yang diperolehi daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY ditawarkan untuk dijual.

Bagaimanapun, LHDN menafikan laporan portal berkenaan.

Pihak polis ketika ini mengesahkan sudah membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti dakwaan kecurian 4juta data peribadi awam.

Siasatan masih lagi dijalankan dan pihak polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam.

Sementara itu, Jawatankuasa Keselamatan PH mencadangkan agar kerajaan melakukan semakan semula keberkesanan dan keutuhan infrastruktur keselamatan bagi maklumat dan data yang disimpan oleh badan-badan awam.

“Sekiranya perlu, infrastruktur keselamatan yang sedia ada perlu dinaiktaraf bagi menghadapi cabaran keselamatan siber pada masa ini,” ujarnya.