Malaysia Dateline

4 juta rakyat Malaysia masih belum daftar mengundi, dedah SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mendedahkan, terdapat 4 juta rakyat di negara ini yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berpendapat, ramai daripada rakyat di negara ini mengabaikan hak mengundi dan pendidikan terhadap pengundi perlu diterapkan kepada golongan masyarakat.

“Saya rasa yang paling penting adalah pendidikan kepada pengundi. Pihak kerajaan, parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah SPR sendiri perlu turun padang untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.

“Pengetahuan dan kesedaran itu adalah dari segi sistem demokrasi dan sistem kerajaan yang kita amalkan serta hak seseorang itu untuk mengundi.

“Saya rasa ramai daripada rakyat kita mengabaikan hak mengundi kerana kita merdeka pun tidak memerlukan pertumpahan darah.

“Kalau kita lihat dari segi sosiologinya, negara-negara yang mereka perlu pergi berperang untuk mendapatkan kemerdekaan, hak untuk mengundi itu mereka kawal dengan amat rapi, tetapi sejarah Malaysia tidak sebegitu kerana kita tidak perlu berperang untuk mendapatkan hak demokrasi,” katanya ketika menjadi tetamu program rancangan wawancara Selamat Pagi Malaysia RTM 1, hari ini.

Sementara itu, Azhar turut memaklumkan, esok satu forum bertajuk ‘Make A Change, Let’s Do It Together’ sempena Undi 18 akan diadakan bertujuan menimbulkan kesedaran, terutama dalam kalangan anak muda dan orang dewasa yang tidak turun mengundi.

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata masalah alamat kediaman tidak dikemas kini adalah cabaran yang paling nyata dihadapi pihaknya dalam pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik.

“Dalam sistem daftar pemilih, akan terdapat pengundi-pengundi yang masih tidak menukar alamat (alamat lama), malah ada alamat yang sudah tidak wujud lagi.

“Dulu kita ada Suleiman Court, tetapi sekarang bangunan pangsapuri itu sudah digantikan dengan Kompleks Beli-belah Sogo, tetapi kita masih ada lagi pengundi di Suleiman Court sebab mereka tak tukar alamat.

“Orang tanya macam mana 100 orang beralamat di Suleiman Court yang mengundi, adakah ini pengundi hantu? Itu adalah isu operasi, Flat Pekeliling pun dah tiada, jadi mungkin bila ada pendaftaran secara automatic, akan ada orang beralamat di flat itu,” jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir gembira melihat proses demokrasi berparlimen negara berjalan lancar apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Dr Mahathir berkata, keputusan 211 Ahli Parlimen menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 menggambarkan kematangan dan pencapaian rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

“Ini hari bersejarah bagi Malaysia. Tidak pernah berlaku. Saya sudah biasa dengan Parlimen, tapi ini kali pertama satu undang-undang diluluskan dengan (sokongan) semua pihak. Tidak ada satu pun undi menolak,” katanya.