Malaysia Dateline

4 kes disyaki coronavirus, tangguhkan perjalanan ke Wuhan

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menerima laporan empat kes, masing-masing dua di Sabah dan Selangor yang disyaki jangkitan coronavirus baharu dikenali sebagai 2019-nCoV.

Menurutnya, kesemua empat individu itu dimasukkan ke wad pengasingan sebaik dikesan, bagi membolehkan rawatan dan siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, ujian makmal pada sampel tiga daripada empat individu terbabit didapati negatif bagi jangkitan 2019-nCoV.

“Bagi baki satu lagi kes disyaki 2019-nCoV yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah semalam, beliau berada dalam keadaan stabil.

“Sampel bagi kes itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan. Keputusan ujian bakal diperolehi dalam masa terdekat,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas langkah siap siaga dilaksanakan Kementerian Kesihatan selaras saranan WHO, Dr Noor Hisham memaklumkan, aktiviti saringan di pintu masuk antarabangsa kini diperkukuh dan individu disyaki akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, saringan pesakit di klinik kesihatan dan hospital turut diperkukuh, manakala tatacara pengurusan kes disyaki wabak 2019-nCoV membabitkan fasiliti kesihatan dan swasta turut dikeluarkan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China bagi mencegah penularan wabak 2019-nCoV, namun jika terpaksa, mereka perlu mengelak mengunjungi tempat tumpuan umum atau bergaul rapat dengan individu yang memiliki gejala wabak berkenaan.

Jelasnya, mereka juga perlu mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, selain membawa penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.

“Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan serta mengelak memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun sukar bernafas, dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan itu. Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” tambahnya lagi.