Malaysia Dateline

4 kluster di Sarawak diisytiharkan tamat

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan bahawa empat kluster COVID-19 di negeri telah tamat semalam.

Dalam satu kenyataannya, JPBN berkata, ini berikutan tiada kes positif terbaru direkodkan dalam tempoh 28 hari sejak tarikh akhir kes berkenaan.

Jelas JPBN, kluster yang tamat itu ialah Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne dan Kluster Pasar Satok.

“Ini menjadikan kluster COVID-19 yang masih aktif ketika ini tinggal dua iaitu Kluster Mambong dan Kluster Alam Bintulu.

“Dan kedua-dua kluster yang masih aktif itu masing-masing melibatkan tujuh kes sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak kekal 696,” kata JPBN.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan tiada kes baru yang pulih dan dibenarkan discaj dari hospital semalam, menjadikan jumlah setakat ini kekal 662 orang atau 95.11 peratus.

“Seramai 11 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan sembilan daripadanya dirawat di Hospital Bintulu, empat lagi di Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala masing-masing seorang di Hospital Sibu dan Hospital Miri.

“Manakala jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.73 peratus serta 19 orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan dua kes masih menunggu ujian makmal,” tambah JPBN lagi.