Malaysia Dateline

4 Menteri Kabinet, seorang Adun Sarawak dikuarantin

Empat Menteri dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun)di Sarawak menjalani kuarantin bermula semalam.

Antara menteri Kabinet Kerajaan Negeri Sarawak yang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari bermula semalam ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas.

Uggah diarahkan menjalani kuarantin selepas dilaporkan pernah mengadakan mesyuarat dengan Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil yang disahkan positif jangkitan COVID-19 semalam.

Manakala, Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom turut diarahkan menjalani kuarantin atas sebab yang sama.

Menteri lain yang turut diarahkan untuk kuarantin selepas terdedah dengan risiko jangkitan ialah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Kedua-dua mereka diminta menjalani kuarantin setelah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Adun Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep turut menjalani kuarantin di rumah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19 selepas beliau turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan Dr Jerip di Pejabat Daerah Bau pada 30 Mac lepas.

Kelmarin, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diarah menjalani kuarantin diri di rumah oleh Jabatan Kesihatan Negeri selepas seorang ahli Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan COVID-19 yang hadir pada mesyuarat yang dipengerusikannya dua hari lalu, dilaporkan positif COVID-19.