4 rakyat Kemboja antara mangsa serangan pengebom bunuh diri di Mali

4 rakyat Kemboja antara mangsa serangan pengebom bunuh diri di Mali

Empat rakyat Kemboja yang bertugas dengan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara yang menjadi mangsa serangan bunuh diri di Mali, demikian kata jurucakap Kementerian Pertahanan pada Rabu.

“Seorang mangsa cedera parah dan tiga yang lain cedera ringan,” kata Chhum Socheat dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Xinhua.

Insiden berlaku pada malam Isnin berhampiran kompleks kediaman PBB di Gao, selepas seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya yang turut meragut nyawa dua rakyat Mali serta mencederakan 14 yang lain.

Sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaida mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Mali bergelumang keganasan selepas militan daesh yang dikaitkan dengan al-Qaida menguasai bahagian utara negeri itu sejak Mac 2012 dan Perancis melancarkan operasi ketenteraan pada Januari 2013 untuk memerangi mereka.

Kemboja menghantar tenteranya menyertai pasukan pengaman PBB di Mali sejak 2014 dan sehingga kini terdapat 309 anggota terbabit dengan misi itu.

— BERNAMA