4 rakyat Malaysia yang dibebas penculik kini di Sandakan, kata KPN

4 rakyat Malaysia yang dibebas penculik kini di Sandakan, kata KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata empat warga Malaysia yang diculik lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, April lepas, dan telah dibebaskan, kini berada di Sandakan, Sabah untuk pemeriksaan kesihatan.

 Beliau berkata mereka yang dibebaskan pada awal pagi semalam dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.

 Katanya sebaik sahaja pemeriksaan kesihatan dilakukan, mereka akan dibawa ke Kota Kinabalu, Sabah untuk diambil keterangan.

 “Setakat ini pihak polis masih belum mengambil keterangan daripada kesemua mangsa yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia, di sini hari ini.

 Empat lelaki rakyat Malaysia yang berasal dari Sibu, Sarawak itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21.

 Ditanya mengenai sama ada polis ada membayar wang tebusan bagi membebaskan kesemua mangsa culik, Khalid berkata pihaknya tidak membuat sebarang bayaran wang tebusan.

 “Kami tidak membayar sebarang wang tebusan,” tegasnya.

 Empat rakyat Malaysia itu diculik pada 1 April lalu ketika belayar menggunakan bot tunda dari Manila ke Sabah.

COMMENTS

Wordpress (0)