Malaysia Dateline

40 kakitangan KKM dijangkiti COVID-19 selepas ambil dua dos vaksin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 40 kakitangan mereka yang lengkap mengambil dua dos suntikan vaksin dikesan dijangkiti COVID-19.

Kenyataan KKM melalui facebook berkata, daripada jumlah tersebut sembilan kes dijangkiti dalam tempoh lebih dari dua minggu selepas dos kedua.

Manakala menurut KKM 31 kes lagi telah dijangkiti kurang dari dua minggu.

Malaysia memulakan program vaksinasi percuma secara besar-besaran bermula 24 Februari lalu, di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan satu daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan pelalian itu dengan 57.3 peratus adalah petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui Fasiliti COVAX daripada lima pengeluar. Vaksin berkenaan ialah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.