40 keracunan di Pulau Perhentian-Kemanakah arah tuju pelancongan Terengganu?

Oleh NASUHA RAHMAN

Kenyataan EXCO Pelancongan Negeri Terengganu, Arifin Deraman yang kerajaan Negeri “tidak akan teragak agak” mengambil tindakan atas kejadian serius keracunan 40 pelancong termasuk 13 kanak kanak di Pulau Perhentian adalah terlambat dan lemah.

Reputasi pelancongan Negeri Terengganu dan Malaysia telah terjejas teruk – “great damage” done, kesan daripada kejadian ini apatah lagi pada zaman internet dan media sosial ini peristiwa ini mudah sampai ke seluruh dunia.

Baru empat bulan lalu, iaitu pada bulan Jun 2022, insiden yang sama melibatkan 6 orang pelancong di Pulau Perhentian.

Malangnya, sehingga kini tidak menerima tindakan serta perhatian serius dari kerajaan negeri untuk mengatasi walaupun kerajaan mengetahui punca adalah kerana sebahagian besar resort di pulau tersebut tidak memiliki sistem kumbahan dan menyebabkan najis manusia bebas mengalir ke dalam tanah dan laut tanpa rawatan.

Kerajaan dilihat berlengah lengah untuk bertindak seperti sepatutnya menggunakan undang undang sedia ada menyebabkan berulangnya insiden yang lebih besar dan serius sehingga ada yang dimasukkan ke hospital kerana keracunan darah dan demam tinggi.

Tiada laporan terperinci siasatan yang dilakukan diumumkan, begitu juga tindakan amaran kepada pihak yang berkenaan supaya mengelak insiden sedemikian berulang.

Kami telah menggesa Menteri Alam Sekitar, YB Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil berat isu pencemaran alam sekitar sejak bulan Jun lalu kerana beliau wakil rakyat negeri jiran pantai timur Kelantan dan dari parti Pas yang memerintah Terengganu tetapi malangnya tiada kedengaran tindakan dari Kementerian Alam Sekitar.

Seorang wakil mangsa telah menghubungi saya, mengadu tiada respon sepatutnya dari Jabatan Kesihatan Besut apabila laporan dibuat.

Berulangnya insiden yang lebih serius selepas beberapa bulan sahaja tanpa tindakan segera yang tegas memusnahkan reputasi pelancongan negeri dan negara.

Bukan sahaja industri pelancongan di pulau-pulau terjejas tetapi kecantikan dan keselamatan semula jadi Tasik Kenyir sebuah destinasi eco tourism, terjejas teruk dengan kayu balak yang bergelimpangan hanyut dan berita tergempar keselamatan empangan Kenyir mungkin pecah yang diberi taklimat oleh Pejabat Daerah Marang baru baru ini

Usaha Kerajaan Negeri Terengganu berbelanja ratusan ribu setiap tahun menghadiri expo pelancongan antarabangsa terkemuka dunia di London dan Berlin tidak bermakna jika kedatangan pelancong disambut dengan kelemahan pentadbiran asas, kesihatan dan keselamatan.

Terengganu tidak membenarkan pelancongan berasaskan hiburan dan kelab malam tetapi mengutamakan mempromosikan pelancongan berkeluarga bertema riadah dan kesihatan tetapi sektor ini pun tidak terjaga dan diabaikan.

Pulau-pulau di Terengganu terkenal bukan hanya dalam negara tetapi masyhur di seluruh dunia dan peristiwa hitam yang berulang ini ada kesan negatif jangka masa panjang.

Tanpa sektor pelancongan riadah pulau, pantai serta tasik yang sihat dan selamat, kemanakah arah tuju senario pelancongan Tetengganu hari ini ?

Sepatutnya sektor pelancongan semula jadi sihat dan beriadah diberi tumpuan dan keutamaan kerana Islam menekankan kebersihan adalah sebahagian besar dari keimanan supaya kesihatan kita terpelihara.

Baca juga: Tembak gas pemedih mata dalam stadium Ketua Polis Malang dipecat, 9 pegawai digantung tugas

Baca juga: Lebih 15 jam terapung di laut, nelayan ini akhirnya diselamatkan