40 MP Umno: Tidak gugat PH, saringan perlu dilakukan, kata Pemuda AMANAH

40 MP Umno: Tidak gugat PH, saringan perlu dilakukan, kata Pemuda AMANAH

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil berpandangan sekiranya benar desas-desus kebarangkalian 40 Ahli Parlimen Umno akan sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ia tidak akan mengugat parti gabungan dalam Pakatan Harapan.

Sebaliknya beliau berpandangan kemasukan ahli parlimen Umno itu akan mengukuhkan lagi  Pakatan Harapan sekiranya mereka boleh menerima dasar dan polisi yang dibawa kerajaan semasa.

Bahkan terangnya lagi,  ‘lompat parti’ secara individu atau berkumpulan ia dibenarkan dalam mana-mana pertubuhan politik di negara ini.

“Ia (lompat parti) satu kebebasan yang dibenarkan dalam perlembagaan.

“Dari sudut politik ia dilihat baik kerana dapat menguatkan kerajaan Pakatan Harapan bagi memudahkan pelaksanaan polisi baharu oleh kerajaan semasa.

“Saya tidak fikir ia satu halangan kepada Pakatan Harapan kerana mereka masuk secara individu atau berkumpulan sudah pasti mereka akan terikat dengan dasar dan polisi baharu parti dalam gabungan Pakatan Harapan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas ura-ura kemasukan 40 Ahli Parlimen Umno ke dalam Bersatu sebagaimana kenyataan di buat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk A Kadir Jasin.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Permatang Pasir menegaskan, jika kemasukan ahli parlimen Umno itu menjadi kenyataan, maka penting kepada  pemimpin Bersatu dan parti dalam gabungan PH perlu ‘tarbiah’ bekas ahli Umno itu untuk memahami dasar dan polisi yang dipersetujui oleh PH untuk kerajaan baharu.

“Bagi saya soal keikhlasan bukan urusan kita (Pakatan Harapan). Lebih penting dalam urusan kita adalah untuk mendidik mereka berdasarkan nilai politik murni dan integriti yang sedang kerajaan hari ini perjuangkan untuk kembali kepada dasar yang berada dilandasan betul,” ujarnya.

Beliau yang juga seorang peguam tidak menolak Pakatan Harapan perlu lakukan saringan terhadap mana-mana pemimpin Umno yang mahu melompat parti.

“Jika mereka ada kes terserah pada pihak berkuasa polis atau SPRM untuk menyiasat dan mendakwa jika terbukti mereka terbabit, sebab itu saringan amat perlu.

“Ini kerana jika ada kesalahan undang-undang yang mengaitkan mereka, tidak akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan kelak

“Saya alu-alukankan mereka masuk Bersatu kerana Pakatan Harapan harus bersifat inklusif.

“Tugas kerajaan hari ini untuk berdakwah bukan menghukum mereka untuk tidak membenarkan menyertai mana-mana parti dalam gabungan Pakatan Harapan,” ujarnya merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir agar Ahli Parlimen Umno yang berhasrat melompat parti untuk disaring terlebih dahulu.

Media turut melaporkan Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan desas-desus kebarangkalian 40 Ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu, parti yang diasaskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.