Malaysia Dateline

40 NGO Islam diketuai Rani Kulup buat laporan polis bantah Kongres Anti-Jawi

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tampil membuat laporan polis terhadap Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), yang akan menganjurkan kongres membantah pengenalan pelajaran jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (PERKID) Malaysia hari ini membuat tiga tuntutan yang mendesak kerajaan agar mengharamkan pertubuhan Dong Zong yang disifatkannya sebagai anti Melayu dan Islamophobik.

Presiden Perkid, Masridzi Sat berkata, tindakan Dong Jiao Zong sebagai pertubuhan terdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, telah melanggar syarat penubuhan gabungan itu sendiri.

Katanya, Pertubuhan Cina itu sama sekali tidak mengambil kira mengenai ‘Penggunaan Bahasa Kebangsaan untuk maksud rasmi’ sebagaimana yang terbukti dengan penentangan mereka ke atas pengajaran tulisan Jawi tersebut.

“Ia juga terbukti dalam tindakan mereka yang mengadakan sidang media atau mengeluarkan media kenyataan, hanya dalam bahasa Mandarin sahaja.

“Perdana Menteri turut memberi amaran bahawa Kongres tersebut akan mencetuskan kekacauan yang secara jelas menunjukkan pertubuhan itu memudaratkan bertentangan dengan kepentingan keselamatan awam.

“Ini sekali gus memenuhi peruntukan Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan tegas,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa agar siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin gabungan Dong Jiao Zong di bawah Akta Hasutan 1948

“Tindakan mereka secara jelas telah menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Maka pemimpin mereka ini perlu disiasat atas akta hasutan kerana terdapat kecenderungan menghasut sebagaimana ditakrifkan dalam Akta Hasutan 1948,” katanya.

Justeru tegasnya, himpunan yang bakal mengumpulkan semua pertubuhan Cina menyertai Kongres tersebut, perlu dibatalkan segera oleh kerana ia memudaratkan dan bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan dan ketenteraman awam, selain bakal mencetuskan ketidakharmonian serta perpecahan kaum.

Sementara itu, kumpulan seramai lebih 80 individu mewakili 40 NGO berkenaan diketuai Presiden Pertubuhan Jalinan Martabat Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah yang turut menggesa PDRM melakukan siasatan terperinci terhadap pertubuhan berkenaan.

“Kami gesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menyiasat pihak penganjur perhimpunan yang akan menaikkan kemarahan rakyat berbilang kaum dalam negara.

“Saya memberi amaran agar Dong Zong menarik semula himpunan bantahan tersebut dan terus menghormati keputusan kerajaan terutama keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Jangan sempitkan pendidikan dengan melakukan kontroversi perkauman sebegini,” ujarnya.