Malaysia Dateline

40 pekerja binaan di Dun Chempaka hilang pendapatan tidak pernah terima bantuan

Seramai 40 orang pekerja sektor pembinaan yang tercicir dari senarai penerima bantuan di Dun Chempaka telah diberi sumbangan oleh Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Zulhazmi Hassan atau lebih dikenali sebagai Jeming.

Jeming yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa itu menjelaskan, maklumat tentang kumpulan pekerja binaan yang langsung tidak menerima sebarang bantuan sejak PKP dilaksanakan di Kelantan itu disampaikan oleh penduduk kampung yang berdekatan.

“Sebelum ini kumpulan pekerja binaan ini tidak diberikan bantuan oleh pihak berwajib, kita pun tidak tahu kenapa pihak berkenaan tidak bantu kumpulan ini”, jelas Jeming.

“Akhirnya ada penduduk setempat yang bersimpati dengan nasib kumpulan pekerja binaan ini, mereka tolong kibarkan bendera putih untuk beri tanda minta bantuan, barulah pihak kita dapat maklumat mereka”, tambah Jeming lagi.

Pihak AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa yang diketuai oleh Jeming ini terus bertemu wakil-wakil dari kumpulan tersebut bagi mendapatkan maklumat dan telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan kepada 40 orang buruh kasar tersebut.

“Penduduk kampung ada beritahu kami, sebelum ini apabila bendera putih dikibar oleh mereka untuk bantu kumpulan pekerja binaan tersebut, ada orang marah dan minta mereka cabut bendera putih itu.

“Pihak yang marah itu juga berjanji akan segera beri bantuan, namun sehingga petang tadi bantuan masih belum sampai, maka pihak kami terus pergi jumpa kumpulan ini dan beri sedikit sumbangan”, jelas Jeming kepada Malaysia Dateline.

Justeru itu Jeming berharap agar pihak berwajib terutama Kerajaan Pas Kelantan agar tidak bersikap pilih kasih atau bertindak lambat dalam hal pemberian bantuan kepada rakyat yang terkesan.

“Rakyat yang susah mesti dibantu terutama oleh pihak Kerajaan Pas Kelantan yang memerintah, kalau bab pertahankan Mahiaddin sebagai PM boleh cepat, takkanlah bab beri bantuan tunggu rakyat kebuluran dulu baru nak beri sumbangan”, bidas Jeming.

Akibat pelaksanaan PKP yang berlarutan di Kelantan sejak bulan April lalu, telah ramai rakyat kehilangan sumber pendapatan untuk menampung kehidupan seharian terutama mereka yang bekerja di sektor bukan keperluan.

Walaupun Kerajaan Pas Kelantan telah umum peruntukan bantuan untuk diagih kepada rakyat, ternyata masih ramai yang masih belum menerima sebarang sumbangan sehingga terpaksa mengangkat bendera putih di negeri yang kononnya diperintah oleh ulama ini.