40 peratus aset TUDM perlu dinaik taraf , kata Panglima Tentera Udara

Pengamal media tempatan dan antarabangsa diberi peluang menaiki sebuah helikopter EC725 mengililingi kawasan Lembah Klang selepas Wawancara Khas PTU Bersama Media Sempena Hari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-60 di Pangkalan Udara Subang.
Hari TUDM yang disambut pada 1 Jun.-Foto Bernama.

Hampir 40 peratus aset pertahanan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu dinaik taraf atas faktor usia dan kemampuan aset bagi menjaga ruang angkasa negara daripada sebarang ancaman, kata Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata kesemua aset berkenaan antaranya meliputi beberapa jenis pesawat seperti Hawk 108 dan Hawk 208 yang telah mencecah usia 20 tahun dalam perkhidmatan TUDM.

“Selain itu, pesawat pengangkut jenis C-130 Hercules juga perlu diberi perhatian untuk menjalani proses berkenaan bagi memanjangkan hayat sekaligus digunakan secara optimum.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Affendi Buang

“Kami masih ada lagi pesawat yang berusia bawah 20 tahun seperti A400M dan EC-725, bagi pesawat pejuang F/A-18D pula, kami telah menjalankan proses menaik taraf sensor dan komponen lain serta sistem terkini untuk jangka masa 14 tahun lagi.

“Begitu juga dengan helikopter Nuri yang menjangkau usia lebih 40 tahun, walaupun ia bagus dan masih mampu beroperasi, tetapi ia helikopter lama dan akan menjadi masalah apabila membabitkan penukaran alat ganti dan komponen,” katanya pada wawancara khas dengan media bersempena Hari Ulang Tahun Ke-60 TUDM hari ini seperti dilapor Bernama.

Dalam pada itu, Affendi berkata TUDM mempunyai perancangan bagi meningkatkan daya tempur serta tahap persediaan mereka bagi tempoh kira-kira 35 tahun akan datang.

“Pertama TUDM perlu lihat apa yang kita ada dan kedua adalah persekitaran operasi dengan ancaman yang bakal kita hadapi serta kemampuan sumber kewangan.

“Kami boleh membeli dan menentukan peralatan supaya diberi penyenggaraan dengan lebih efektif,” katanya.

Affendi berkata kebanyakan aset TUDM telah menjangkau umur lebih 20 tahun dan keperluan menaik taraf aset amat tinggi.

Beliau berkata apabila ia mencecah tempoh berkenaan, TUDM membuat sesuatu supaya pesawat boleh terus beroperasi dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

“TUDM perlu melihat ke hadapan dalam perolehan aset supaya penggunaan dalam menjaga ruang angkasa memberi kesan yang optimum.

“Kami perlu lihat apa yang kita perlukan untuk tempoh tertentu. Letakkan diri kita 10 tahun ke hadapan dalam pelbagai aspek seperti ancaman, kewangan dan penyelenggaraan,” katanya.

Pada tahun ini sambutan  60 tahun TUDM akan diadakan pada bulan Julai ini bagi menghormati bulan Ramadan.
Tahun ini hari TUDM bertemakan ‘Kuasa Udara,Tonggak Kedaulatan Negara.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS