’40 peratus sudah gulung tikar, 20 peratus lagi boleh tutup’

Oleh ARIF ATAN

Gabungan 112 persatuan perdagangan dan perniagaan tempatan, Industries Unite mendedahkan sebanyak 40 peratus ahlinya jatuh muflis ekoran pandemik Covid-19.

Pengasas bersama kumpulan berkenaan, Datuk David Gurupatham juga memberitahu 20 peratus lagi perniagaan berisiko untuk ditutup dalam tempoh beberapa bulan jika sekatan yang dilaksanakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) diteruskan.

“Sebanyak 80 peratus ahli-ahli kami tidak lagi boleh bertahan dan memenuhi kewajipan kewangan mereka.

“40 peratus sudah gulung tikar dan 20 peratus lagi boleh tutup dalam tempoh beberapa bulan,” tegasnya menerusi satu penstriman di media sosial, lapor Astro Awani.

Tegasnya, sektor perniagaan tidak akan mampu bertahan jika sekatan yang dilaksanakan di bawah PKP pada masa ini diteruskan sehingga akhir tahun.

Sehubungan itu, Industries Unite yang mewakili 3.3 juta entiti perniagaan, jelasnya, menuntut kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kewangan bagi membantu anggotanya yang disifatkan ‘parah’ untuk stabil dan pulih.

Antara bantuan yang dipohon, kata David, melibatkan pengurangan bil elektrik bagi premis komersil serta penangguhan enam bulan caruman mandatori seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kumpulan berkenaan juga merayu agar moratorium automatik untuk perniagaan dan individu secara opt-out, serta pelepasan sewa premis perniagaan.

Pada masa sama, Industries Unite turut mendesak agar Bank Negara Malaysia (BNM) memberi penjelasan mengenai data yang pernah dikemukakan berhubung kemampuan 85 peratus peminjam membuat pembayaran setelah moratorium penuh berakhir September lalu.

Tambah David, angka tersebut tidak konsisten dengan hal sebenar yang dilaporkan semua 3.3 juta perniagaan yang bernaung di bawah kumpulan itu.