Malaysia Dateline

40 peserta Sarawak Terima Sijil Pentauliahan Pegawai Integriti Bertauliah

Seramai 40 peserta dari kementerian, jabatan dan badan berkanun Kerajaan Negeri Sarawak bersama-sama 142 peserta negeri lain berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) pada Majlis Konvokesyen CeIO Kali Ke-8 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pasemalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata, kejayaan CeIO ini merupakan satu platform berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam agenda memerangi rasuah dan dipikul bersama oleh semua pihak.

Khairul berkata, kerajaan komited dalam melaksanakan kemakmuran institusi seperti penubuhan Ombudsman Malaysia yang akan menggantikan Biro Pengaduan awam untuk meningkatkan mutu dan sistem penyampaian perkhidmatan dan latihan yang lebih efektif dan menyeluruh.

“Ia juga sebagai usaha memastikan tindakan terhadap pengaduan berkaitan kementerian, agensi dapat ditangani dengan lebih efektif.

“Saya percaya melalui modul-modul pengajian yang terdapat dalam program CeIO yang telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu mewujudkan tenaga yang lebih pakar dalam mentransformasikan organisasi ke arah organisasi yang berintegriti tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Program CeIO ini adalah anjuran Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.