400 anak nelayan terima manfaat kelengkapan bantuan persekolahan

400 anak nelayan terima manfaat kelengkapan bantuan persekolahan
Faiz Fadil menyerahkan beg sekolah kepada salah seoang pelajar di Sandakan.

Seramai 400 orang anak-anak nelayan dari sejumlah empat buah negeri menerima manfaat sumbangan kelengkapan persekolahan berjumlah sehingga RM80,000 sepanjang tahun ini.

Sumbangan yang meliputi beberapa kawasan di Negeri Sabah, Sarawak, Pahang dan Pulau Pinang itu, membabitkan kerjasama antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Petronas Dagangan Berhad dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Menurut Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada program khidmat sosial masyarakat yang diuruskan LKIM kepada kumpulan sasar dalam negara yang berpendapatan rendah.

“Sumbangan kelengkapan persekolahan yang bernilai RM80,000 diberikan oleh Petronas Dagangan dan NEKMAT, bagi meringankan beban golongan nelayan dalam mempersiapkan anak-anak mereka menjelang sesi persekolahan pada tahun hadapan.

“Pihak LKIM berharap pihak Petronas Dagangan dan NEKMAT boleh memberikan sumbangan yang lebih besar pada tahun hadapan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak nelayan diberikan bantuan kelengkapan persekolahan,” katanya.

Beliau berkata demikian, semasa Majlis Kembali ke Sekolah Bersama Anak-Anak Nelayan Sandakan, Libaran dan Batu Sapi, yang diadakan di Hotel Pavillion, Sandakan hari ini.

Turut hadir, Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah; Ketua Operasi Terminal Bekalan Minyak & LPG Sabah Tuan Ameran Tuan Yaacub; Pengerusi NEKMAT, Abdul Hamid Bahari; Ahli Jemaah Lembaga LKIM, Azhar Ismail; dan Pegawai LKIM Wilayah 2 Sandakan Hasbie Mokhti.

Sementara itu, mengulas tujuan sumbangan ini diberikan, Faiz berkata ia bukan sahaja bagi meringankan beban nelayan dalam berhadapan kos sara hidup, tetapi juga bagi menjamin keselesaan kepada anak-anak nelayan untuk belajar dengan lebih bersemangat.

“Ini adalah kerana bagi mengubah taraf hidup golongan nelayan, pendidikan adalah faktor penting yang perlu dititikberatkan.

“Justeru, lebih banyak program berteraskan pendidikan kepada anak-anak nelayan akan dirancang LKIM,” katanya.

Dalam majlis sama, seramai 106 orang anak-anak nelayan daripada Sandakan, Batu Sapi, dan Libaran menerima kelengkapan seperti beg sekolah, pakaian, kasut, dan alat tulis.