400 pelajar di Dun Permatang Pasir terima bantuan persekolahan

400 pelajar  di Dun Permatang Pasir terima bantuan persekolahan
Faiz Fadzil (tiga dari kanan) sampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar di SMK Permatang Pasir semalam.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mencari dana dan sokongan untuk membela nasib rakyat menjadi keutamaan dan prioriti.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil ketika menyerahkan sumbangan 400 peralatan persekolahan bagi Dun Permatang Pasir di Sekoleh Menengah Kebangsaan Permatang Pasir semalam.

Jelas Faiz lagi, tugas sebagai Adun dan wakil rakyat Pakatan Harapan adalah bagi membela nasib rakyat.

Sehubungan itu katanya, mencari sumber untuk dibawa ke Permatang Pasir adalah satu tanggungjawab yang amat besar.

“Kebajikan rakyat dan penduduk dalam kawasan Dun Permatang Pasir akan tetap diberi pembelaan dan dijaga.

“Permatang Pasir tidak mempunyai lubuk emas, berlian atau pun bijih timah.

“Namun begitu, apa jua kemudahan yang ada akan dibawa balik ke Permatang Pasir demi kebajikan penduduk dalam kawasan ini, ” ujarnya lagi.

Malah tegas Faiz, fungsi sebagai wakil rakyat kerajaan PH adalah untuk berusaha dan membantu rakyat.

Maka itu katanya, bantuan kebajikan akan dipermudahkan dengan mendapatkan sumber yang banyak bagi membantu pelajar dalam kawasan tersebut memperolehi pendidikan yang sebaik mungkin.

“Setiap pelajar akan dipastikan menerima pendidikan yang terbaik.

“Dalam tempoh pentadbiran kerajaan PH selama lima tahun atau sepuluh tahun yang akan datang, kita akan pastikan setiap pelajar dalam kawasan Dun ini mendapat pelajaran yang terbaik.

“Bantuan dan sokongan akan dipermudahkan termasuklah mendengar segala rungutan dan keluhan penduduk yang memerlukan, ” tambah Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH.

Walau bagaimana sibuk sekalipun kata Faiz, kebajikan penduduk dalam Dun yang diwakilinya akan tetap diberi perhatian dan disokong melalui pelbagai dokongan.

Sehubungan itu katanya, karnival jualan murah yang pertama dengan kerjasama Fama yang dikenali sebagai ‘Bazar Peduli Rakyat’ akan diadakan pada 1 Februari bagi membantu penduduk sekitar kawasan Dun Permatang Pasir.