Malaysia Dateline

4,029 kes baru tertinggi direkodkan hari ini

Kes positif COVID-19 dalam negara terus meningkat apabila kes harian yang tertinggi yang direkodkan setakat ini 4,029 kes.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 155,095 kes di mana jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 37,126 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 4,021 kes.

Bagi kes penularan di dalam negara 2,711 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,310 kes adalah bukan warganegara.

Selangor catat kes harian tertinggi

Bagaimanapun, negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sepanjang minggu ini iaitu sebanyak 1,466 kes (36.4 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 1,161 kes (79.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Johor sebanyak 719 kes (17.8 peratus) dan Sabah sebanyak 449 kes (11.1 peratus).

Sehingga kini, terdapat 205 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat pertambahan lapan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 594 kes (0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 2,148 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 117,375 kes (75.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).