Pemuda BN serah keputusan PH teruskan atau akhiri TN50

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata beliau menyerahkan keputusan kepada kerajaan yang baharu sama ada ingin meneruskan atau mengakhiri program dan dasar kerajaan sebelum ini termasuk Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Jika mereka berpendapat bahawa program tersebut boleh diguna maka mereka boleh meneruskannya, tetapi jika mereka rasakan program tersebut sudah tidak relevan maka tak perlu.

“Cuma saya harapkan perkara ini boleh dilihat secara kebaikan objektif melalui penilaian yang profesional,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN di persada pemerintahan negara berakhir apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen.

BN turut hilang kuasa di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu juga berkata, parti keramat orang Melayu itu memerlukan satu barisan kepimpinan baharu yang mampu memulihkan parti untuk menarik semula kepercayaan rakyat.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu juga berkata pimpinan parti yang baharu itu tidak semestinya datang daripada golongan muda tetapi mereka yang mempunyai kredibiliti tinggi dan idea-idea yang membangun.

“Ini bukan soal muda atau kekalkan yang lama, apa yang penting sekarang ialah Umno mesti dipimpin oleh individu yang bijaksana,” katanya

Pada Sabtu lalu, Datuk Seri Mohd Najib Razak melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN, berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

COMMENTS

Wordpress (0)