MB Selangor umum 10 poftfolia Exco

MB Selangor umum 10 poftfolia Exco

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan portfolio 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.

Sambil menaruh keyakinan terhadap kewibawaan dan ketokohan kesemua anggota Exco yang dilantik, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan menggalas amanah serta tanggungjawab berdasarkan sokongan begitu besar daripada rakyat Selangor pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

“Kami akan terus bekerja untuk pastikan pembangunan Selangor dapat dijayakan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat seterusnya,” katanya.

Kesemua 10 anggota Exco terdiri daripada tujuh muka baharu dan tiga muka lama mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang, pada Isnin.

Ditanya mengenai anggota Exco sebelum ini yang digugurkan pada penggal baharu seperti Ean Yong Hian Wah, Elizabeth Wong dan Dr Daroyah Alwi, Mohamed Azmin berkata ia adalah proses biasa iaitu rombakan berlaku dalam setiap pilhan raya umum.

“Dalam pembentukan kerajaan negeri ini 70 peratus adalah muka baharu, ini tidak bermakna yang lama tidak memberi sumbangan. Saya yakin dan percaya tenaga dan idea baru perlu dikemukakan kerana Selangor adalah sebuah negeri yang progresif dan dinamik.

“Kita perlukan satu tenaga yang kuat dan pengalaman pimpinan lama juga amat penting. Gabungan anggota lama dan baharu itu pastinya akan dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan tugas dengan lebih efektif dan berkesan,” katanya.

Berikut adalah senarai portfolio Exco kerajaan Selangor yang baharu:

1. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor dan Komunikasi Strategik.

2. Datuk Teng Chang Khim Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

3. Amirudin Shari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

4. V. Ganabatirau Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin.

5. Ir Izham Hashim Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

6. Datuk Abdul Rashid Asari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

7. Dr Shaharuddin Badaruddin Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi

8. Ng Sze Han Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru.

9. Haniza Mohamed Talha Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar.

10. Dr Siti Mariah Mahmud Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.

11. Hee Loy Sian Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna.