Malaysia Dateline

416 rakyat asing positif Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan telah mengesan sebanyak 416 kes positif Covid-19 dalam kalangan warganegara asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah yang dikira setakat jam 12 tengah hari itu, adalah termasuk dua kes kematian dilaporkan sebelum ini.

“Daripada jumlah tersebut, 51 kes melibatkan warganegara Indonesia, India (37 kes), Myanmar (31 kes), Pakistan (29 kes) dan Filipina (27 kes).

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Berdepan dengan pandemik wabak ini, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menerima banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan.

“Bantuan itu adalah daripada segi menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, seramai 137 sukarelawan pelbagai sektor telah menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini, terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya lagi.