Siasatan audit forensik GLC sedang dilaksana, kata MB Perak

Siasatan audit forensik GLC sedang dilaksana, kata MB Perak

Pakatan Harapan Negeri Perak sedang menjalankan siasatan audit forensik terhadap beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC)kata, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, antara syarikat GLC terbabit ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak atau PPPNP.

“Kerajaan negeri sedang melaksanakan siasatan terperinci melibatkan urus tadbir GLC yang terlibat.

“Selain dari itu, tindakan membekukan akaun akan turut diambil dalam tempoh tersebut.

“Kajian semula terhadap perundingan yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini akan juga dibuat dengan segera, ” ujarnya ketika menghadiri Majlis Berbuka puasa di Masjid Tapah.

Malah katanya lagi, apa juga perubahan yang ada akan dimaklumkan sedikit masa lagi.

“Ketika ini kita sedang membuat post mortem atau bedah siasat dengan teliti dan lebih berhati-hati.

“Tindakan yang diambil adalah bagi mengetahui kedudukan sebenar mengenai GL terbabit.

“Melalui proses ini ia boleh memberi ruang untuk perancangan semula serta hala tuju syarikat terlibat, ” tegasnya.

Tambah Ahmad Faizal lagi, apa yang dilakukan adalah ekoran cadangan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menasihatkan kerajaan negeri agar tidak gopoh dalam mengambil sebarang tindakan melibatkan GLC.

Atas saranan tersebut katanya, maka keputusan yang akan diambil membabitkan mana-mana GLC akan dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana dibimbangi ia turut melibatkan kepentingan rakyat.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote