4,244 murid terima Program Sarapan Pagi di Sarawak

4,244 murid terima Program Sarapan  Pagi di Sarawak
Sebahagian 309 daripada murid-murid SK Tambirat yang menerima PSP yang bermula hari ini.
Seramai 4,244 murid di Sarawak telah dipilih untuk menerima Program Sarapan Pagi melalui inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)yang bermula hari ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Haji Ahmad berkata, 10 buah Sekolah Kebangsaan (SK) di negeri ini telah dipilih sebagai fasa pertama program tersebut.
Katanya, antara sekolah yang terpilih itu ialah SK Penghulu Imban, Selangau, SK Sg Kapit, SK Tambirat, Kota Samarahan, SK Koran, Serian dan SK Abang Leman di Baram.
Turut terpilih SK Long Lapok Baram, SK Kampung Seberang Mukah, SK Abang Haji Matahir Sarikei, SK Tuanku Bagus Sebuyau dan SK Spaoh di Betong.

Dr Azhar melakukan lawatan di SK Tambirat, Kota Samarahan bagi menyaksikan pelaksanaan PSP hari ini

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara jam 7.00 sehingga 8.30 pagi bagi waktu persekolahan sesi pagi dan jam 1 hingga 4 petang untuk sesi petang mengikut ketetapan pihak pengurusan sekolah.
“Justeru, keseluruhannya murid yang terpilih untuk menerima PSP di Sarawak bagi fasa pertama yang bermula hari ini ialah seramai 4,244 orang,” kata beliau selepas mengadakan lawatan pelaksanaan PSP Peringkat Negeri Sarawak di SK Tambirat, Kota Samarahan di sini hari ini.
Beliau menambah, keseluruhannya murid-murid yang menerima PSP di SK Tambirat ialah seramai 309 orang.
Jelas Dr Azhar lagi, bagi penerima PSP di seluruh negara pula ialah seramai 37,000 murid di samping 1,600 guru yang bertugas pada setiap hari.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Mortadza Sat, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Omar Haji Mahli, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan dan Majlis Guru Besar Daerah Samarahan.