Malaysia Dateline

Jenazah bonda Sultan Johor dijangka tiba di LTAS malam ini

Jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), malam ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata ketika ini jenazah Almarhumah sedang diiring di dalam pesawat peribadi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dari London dan dijangka sampai di LTAS pada 10.30 malam.

“Istiadat Pemakaman akan dilaksanakan pada hari esok. Tuanku Sultan Johor memperkenan jenazah Almarhumah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, sebaris dengan makam Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim,” katanya seperti dipetik Bernama.

Abdul Rahim berkata segala persiapan bagi Istiadat Pemakaman telah disempurnakan dan ketibaan jenazah Almarhumah malam ini akan disambut Sultan Ibrahim, kerabat damping, Jumaah Majlis Diraja Johor, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, barisan exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Beliau berkata pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor akan mengusung jenazah turun dari pesawat dan disambut Sultan Ibrahim dan kerabat sebelum disemayam di van jenazah Jabatan Agama Islam Johor untuk diiring ke Istana Besar.