Sebanyak 43,862 daripada 115,477 permohonan ke Universiti Awam (UA) menerusi UPUOnline tidak berjaya mendapat penempatan di 20 UA di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.
Jumlah itu bersamaan 38 peratus apabila sebanyak 71,615 calon mendapat tawaran meneruskan pengajian ke IPT.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar, berkata, daripada 115,477 calon yang memohon untuk memasuki UA tahun ini, seramai 90,745 calon melepasi syarat am.
Menurutnya, calon yang gagal mendapat tawaran antaranya disebabkan tidak memenuhi syarat khas yang ditetapkan universiti pilihan atau kursus dipohon, gagal dalam sesi temuduga bagi kursus tertentu selain kedudukan merit rendah.
Menurutnya, ada antara pelajar tidak mengisi sepenuhnya 12 pilihan yang disediakan dalam borang Unit Pusat Universiti (UPU) menyebabkan mereka gagal mendapat tempat di universiti jika tidak terpilih mengikuti kursus utama yang dipohon.
“Tempat di UA adalah terhad manakala persaingan untuk mendapatkan tempat adalah terlalu tinggi. Ia sesuatu yang baik kerana menunjukkan bakat yang memohon untuk memasuki UA adalah yang terbaik seterusnya membolehkan graduan yang dihasilkan yang terbaik.
“Bagi program kompetitif dan menerima banyak permohonan peluang untuk mendapat tempat adalah tipis.
“Begitu juga jika merit rendah dan memohon program kompetitif, pemohon juga sukar untuk mendapatkan tempat,” katanya pada sidang media khas mengenai UPUOnline, di Putrajaya, hari ini.
Baca juga Punyalah takut isteri periksa telefon, lelaki sanggup bayar tukang baiki untuk tidak baiki