Malaysia Dateline

440 NGO sokong darurat: ‘Takkan lidah rasmi Pas nak tipu’

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih lagi berdiam diri, perlu menyatakan pendirian mereka berhubung dakwaan 440 NGO menyokong darurat dikekalkan yang disiarkan di portal berita milik Pas.

Ini selepas beberapa NGO tampil menafikan laporan tersebut dan mendakwa tidak tahu bagaimana nama pertubuhan mereka boleh disenaraikan.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, tanpa penafian dari badan-badan ini, ia akan menyebabkan orang ramai mempercayai laporan lidah rasmi Pas itu.

“Bilangan 440 NGO Islam adalah jumlah yang amat tinggi terutamanya kalau di ambil kira ianya telah dikumpul dalam waktu yang begitu singkat.

“Ini merupakan pencapaiaan dan juga tindakan yang amat luar biasa yang ramai agak hairan dan terkejut.

“Tetapi apabila direnung kata-kata dalam filem komedi P Ramlee iaitu Do Re Mi yang berbunyi: ‘ Takkan lah Pak Lebai nak menipu’. Jadi, takkan lah Harakahdaily, lidah rasmi Pas parti Islam, nak menipu?,” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul berkata, sehingga kini tidak kurang 10 wakil NGO yang disenaraikan telah menafikan bahawa mereka bersetuju nama mereka turut disertakan dan jumlahnya semakin bertambah.

Menurutnya,untuk ratusan NGO ‘Islam’ dalam waktu begitu singkat yang semuanya berpendirian menentang titah Yang di-Pertuan Agong, ianya amat luar biasa.

“Oleh itu, NGO yang disenaraikan yang masih belum menafikan, eloklah mengesahkan sendiri pendirian mereka jika benar tidak bersetuju dengan titah dari Majlis Raja Raja Melayu tentang tempoh darurat tersebut.

“Maruah dan integriti Tok Lebai Pas sudahpun diragui sebelum ini. Tetapi hari ini ia lebih tercalar dengan teruk lagi dengan penafian NGO NGO yang menafikan laporan Harakahdaily tersebut,” katanya lagi.