Malaysia Dateline

45 ahli keluarga berkumpul untuk tahlil sebabkan 15 positif Covid di Terengganu

Tindakan sebuah keluarga berkumpul bagi menghadiri kenduri tahlil dalam jumlah ramai tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sempurna menjadi antara punca kes baharu Covid-19 di Terengganu semalam, lapor Bernama.

(Gambar di atas hanya hiasan, bukan keluarga terlibat)

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata kes itu melibatkan beberapa keluarga dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang balik ke Terengganu untuk menziarahi datuk yang meninggal dunia.

“Apabila ada kematian, kebiasaannya akan ada majlis kenduri tahlil. Bilangan ahli keluarga yang terlibat sekitar 45 orang. Akhirnya, 15 daripada mereka disahkan positif Covid-19.

“Dalam keluarga ini ada individu bergejala yang turut serta. Ini menyebabkan jangkitan sangat tinggi. Sepatutnya apabila sudah tahu diri bergejala, tangguhkan dulu perjalanan rentas negeri atau patuhi SOP sepenuhnya untuk mengelakkan jangkitan seperti ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan 22 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif di negeri itu 110 kes.

Dr Nor Azimi berkata pertambahan kes Covid-19 akibat rentas negeri dan berkumpulnya ahli keluarga yang ramai bukanlah pertama kali terjadi kerana sebelum ini turut berlaku di Besut.