Malaysia Dateline

45 bot tambahan bagi hadapi bencana banjir di Sarawak

Angkatan Pertahahan Awam Malaysia (APM) Sarawak menyediakan sebanyak 45 lagi bot tambahan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang bermula awal November ini sehingga Mac tahun hadapan.

Menurut Pegawai Operasi Negeri APM Sarawak Kapten Madihi Habib, tambahan 45 bot tersebut adalah untuk menambah bilangan yang sedia ada di seluruh negeri ketika ini.

Katanya, APM Sarawak akan melaksanakan operasi pemantauan 24 jam khususnya di kawasan yang berisiko bencana banjir di setiap daerah dan bahagian di negeri ini.

“Bot tambahan berkenaan adalah sebagai persiapan kemungkinan bagi menghadapi musim banjir di negeri ini ekoran musim Monsun Timur Laut pada awal November ini hingga Mac 2020.

Jelas Madihi, di samping aset dan logistik, APM turut menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak dengan sebanyak 600 PPS di sediakan seluruh Sarawak.

Sementara itu, Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Sarawak (SARES) akan bekerjasama dengan APM Sarawak dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang sukar di akses di negeri ini.

Ahli Exco SARES Peter Chung berkata, pihaknya berperanan memberikan bantuan sokongan teknikal kepada APM Sarawak dengan memasang antena dan kotak radio frekuensi yang berada dalam Zon Kelabu.

“Ia akan memudahkan penyaluran maklumat bagi kawasan-kawasan yang sukar di akses seperti kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan telekomunikasi sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau bencana.

“Sebenarnya jaringan komunikasi bersama APM Sarawak ini sudah lama terjalin iaitu hampir lima tahun lalu,” ujar beliau.

Bagi Kapten Bersekutu Unit Dron APM Sarawak, Winston Lim berkata, Sarawak adalah negeri pertama yang mempunyai unit dron dan diikuti oleh APM negeri Pulau Pinang di seluruh Malaysia.

“Unit sokongan itu ditubuhkan sejak tahun 2015 untuk membantu operasi darat khususnya semasa bencana banjir.

“Ia sangat efektif terutamanya meliputi kawasan-kawasan yang luas dalam masa yang singkat,” katanya lagi.