45 cawangan Bersatu akan ditubuhkan di Kemaman

45 cawangan Bersatu akan ditubuhkan di Kemaman

Sebanyak 45 cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan ditubuhkan di seluruh Parlimen Kemaman selepas sambutan Aidilfitri ini.

Ketua Bahagian Bersatu Kemaman Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok berkata 45 cawangan itu meliputi empat Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Kemasik, Kijal, Chukai dan Air Putih.

“Kita telah mengadakan mesyuarat ketua-ketua bahagian di Kuala Terengganu, jadi kita telah dapat kelulusan daripada pucuk pimpinan untuk membuka cawangan-cawangan melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) sedia ada. Secara dasarnya ketua-ketua cawangan telah dikenal pasti.

“Dan selepas Aidilfitri ini setiap cawangan akan mempunyai keanggotaan sendiri daripada ketua cawangan, timbalan, naib, bendahari, setiausaha dan anggota jawatankuasa (AJK) yang lengkap,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersatu Bersama Anak Yatim semalam dipetik Bernama.

Beliau berkata setiap cawangan jawatankuasa akan mempunyai 20 anggota, daripada ketua cawangan sehingga AJK yang diputuskan oleh pucuk pimpinan.

“Kemaman adalah antara bahagian parlimen Bersatu yang aktif berbanding bahagian lain di Terengganu. Keanggotaan untuk Kemaman dah mencapai 4,500 orang jadi kita harapkan hingga akhir tahun ini insya-Allah di Kemaman kita menganggarkan 50,000 keanggotaan di 45 cawangan,” katanya.

Wan Marzuki berkata dalam sebulan dua lagi semua pejabat parlimen Bersatudi seluruh Terengganu turut akan ditubuhkan dan ketua bahagian PPBM di parlimen lain juga mempunyai inisiatif tersendiri dalam menguruskan bahagian parlimen mereka.

Sementara itu, bagi anggota Umno yang ingin menyertai PPBM akan didaftar tanpa mengira siapa tetapi anggota Umno yang berjawatan dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (R0S) akan ditapis pihak pusat terlebih dahulu.