Malaysia Dateline

45 kluster aktif Covid-19 catat kes baharu hari ini

Sebanyak 45 kluster aktif melaporkan kes baharu Covid-19 hari ini dengan kes tertinggi dikesan dalam Kluster Tapak Bina Damanlela.

Sebanyak 460 kes baharu positif Covid-19 wujud dalam kluster yang melibatkan daerah Lembah Pantai, Kepong, dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu.

Angka tersebut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan daripada kluster yang mula dikesan pada 7 November lalu itu mencecah 747 kes.

Sementara itu, Kluster Teratai yang melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat pula mencatatkan pertambahan 53 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 214 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga kluster baharu lagi dikesan di Sabah dan Johor.

Beliau berkata, Kluster Plaza dikenalpasti di Kota Kinabalu dan kes indeks bagi kluster adalah kes ke-42,299, disahkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November lalu.

Menurutnya, kes indeks itu dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kota Kinabalu.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 11 lagi kes positif Covid-19 manakala sejumlah 19 individu sudah disaring.

“Kluster Jalan Kalabakan di Tawau membabitkan kes indeks iaitu kes ke-31,309 yang dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu dan sudah dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 21 lagi kes positif Covid-19,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jeri pula dikesan di Kota Tinggi, Mersing dan Muar di Johor dengan kes indeks bagi kluster dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), Singapura pada 6 November lalu.

Katanya, hasil saringan kontak rapat di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 26 kes positif Covid-19 dan kes itu dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 1,170 individu sudah disaring dan 26 kes dikesan positif Covid-19 termasuk tiga kes baharu dan 535 individu dikesan negatif, manakala 609 individu masih menunggu keputusan,” katanya.