Malaysia Dateline

45,000 hilang pekerjaan: Kementerian Pelajaran diseru henti amalan diskriminasi

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru Kementerian Pelajaran supaya segera menghentikan amalan diskriminasi dan menghapuskan sistem kontrak tempoh tetap, seterusnya menggantikannya dengan kontrak pekerjaan untuk semua pekerja.

Pegawai Perhubungan Industri PSM, V Selvam berkata, amalan kontrak atau sub-kontrak jangka panjang dan tetap adalah salah di sisi undang-undang yang melanggar Akta Pekerjaan 1955.

Beliau berkata, pihaknya terkejut bagaimana kerajaan boleh membenarkan diskriminasi untuk mengeksploitasi pekerja bagi menyumbang kekayaan kepada pekerja kelas atasan.

“Disebabkan kontrak tempoh tetap, pekerja tersebut dilucutkan manfaat undang-undang mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pekerjaan 1955.

“Hanya disebabkan kontrak mereka berakhir setiap tiga tahun, mereka dianggap pekerja baharu oleh setiap kontraktor baharu yang diberi tender oleh Kementerian Pendidikan, walaupun pekerja tersebut telah bekerja selama bertahun-tahun.

“Berhubung isu ketidakadilan yang dilakukan secara terang-terangan itu, kami sekali lagi menyeru pihak kerajaan dan juga Kementerian Pelajaran supaya menyediakan pekerjaan tetap dan keselamatan terhadap pekerja yang telah sekian lama menderita sejak kontrak pekerjaan diperkenalkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, V Selvam menjelaskan lagi, pekerja tersebut tidak menikmati cuti tahunan, cuti sakit dan tiada kenaikan gaji mengikut tahun perkhidmatan mereka.

“Pekerja berkenaan tidak menerima sebarang kenaikan gaji, mereka hanya ada gaji asas yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Apabila perkhidmatan mereka ditamatkan, mereka pula tidak berhak menerima sebarang pampasan seperti yang termaktub dalam Akta Pekerjaan,” jelasnya.

Memetik laporan The Malaysian Insight pada 1 Jun lalu, seramai 45,000 pekerja kontraktor pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara hilang pekerjaan apabila Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baru tahun ini.

Setiausaha Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang, Akram Shah Hanishah berkata sebahagian daripada 90,000 kakitangan dalam kategori itu tidak ditawarkan kerja bermula 2 Jun lepas.