45,000 pekerja kontrak hilang pekerjaan perlu dipandang serius

45,000 pekerja kontrak hilang pekerjaan perlu dipandang serius

Dakwaan bahawa 45,000 pekerja kontraktor pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan hilang pekerjaan apabila Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baru tahun ini harus diberi perhatian yang amat serius.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed.

Jelasnya lagi, jumlah tersebut merupakan suatu angka yang amat besar dan tidak seharusnya berlaku.

“Reformasi yang hendak dilakukan seharusnya lebih baik dan memberi banyak manfaat kepada golongan bawahan khususnya mereka yang terlibat dalam pembersihan bangunan dan kawasan sekolah tersebut.

“Sekiranya pembaharuan yang hendak dilaksanakan terpaksa mengorbankan angka yang begitu besar, sudah pasti ia amat mendukacitakan.

“Sehubungan itu Kementerian Pendidikan disarankan agar memberi perhatian serius dalam isu ini agar tidak ada mana-mana golongan yang merasakan mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya, ” tegas beliau lagi.

Menurut Jasmin, kehilangan pekerjaan bagi jumlah tersebut amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan kos kehidupan keluarga pekerja terbabit.

“Cuba bayangkan sekiranya sebuah keluarga tersebut mempunyai tanggungan yang ramai, sudah pasti ia menambahkan lagi kesukaran hidup mereka setelah dibuang

“Lebih malang lagi apabila terdapat antara pekerja pembersihan tersebut yang hanya mengharapkan makanan umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang untuk menyara hidup keluarga.

“Oleh kerana itu, perhatian serius mesti diberikan oleh kerajaan bagi menangani isu ini agar ia tidak diberi salah tanggapan sehingga memberi impak yang negatif kepada kerajaan, ” tegasnya lagi.

Malah kata beliau, jalan alternatif mesti dicari bagi menangani isu kehilangan pekerjaan dengan sebaik mungkin dan sepantas yang boleh.

Tambahnya, kerajaan perlu membuktikan bahawa dibawah kepimpinan PH, rakyat mendapat banyak pulangan dan manfaat jika dibandingkan dengan pemerintahan BN sebelum ini.