Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat akan ditubuhkan

Dr Md Farid Md Rafik

Kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR) bagi memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid Md Rafik hari ini.

Beliau yang bertanggungjawab bagi portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial berkata, langkah itu diambil bagi mempromosikan Malaysia di peringkat global sebagai model negara moderat yang berjaya menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

“Majlis ini berfungsi sebagai platform untuk percambahan fikiran dan rekonsilasi antara kaum dan agama,” kata beliau ketika berucap menutup Seminar Kebangsaan Agama Sebagai Medium Memupuk Integriti dan Perpaduan Nasional di Menara Integriti di sini, lapor Sinaronline hari ini.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Institut Integriti Malaysia (Integriti) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri.

Menurut beliau, kertas cadangan penubuhan majlis itu telah diketengahkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

“Kami berharap ia akan dapat kelulusan dalam waktu terdekat,” kata beliau.

Dalam ucapannya beliau berkata, semangat perpaduan antara kaum di negara ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang datang dari pelbagai sudut.

“Justeru, semua pihak yang terlibat dan bertanggungjawab menjadikan rakyat Malaysia celik agama, perlu tampil ke hadapan secara ikhlas untuk membantu dan memainkan peranan bersama dengan Integriti dan JPNIN dalam usaha memperkukuhkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian berlandaskan nilai-nilai sejagat pelbagai agama,” katanya.

Md Farid memberitahu, kerajaan akan membangunkan dasar-dasar dan program yang membawa Malaysia ke arah sebuah negara inklusif yang bersatu padu dan menjaga keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Kerajaan yakin bahawa ini akan membolehkan Malaysia menjadi model senantero dunia,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya komposisi masyarakat yang berbilang kaum dan agama berbeza perlu dilihat sebagai satu peluang besar dan dorongan untuk mewujudkan perpaduan.

“Malah, kita perlu sedar kewujudan masyarakat berbilang kaum dan agama bukanlah satu fenomena yang baharu dan tidak mungkin boleh dipisahkan dalam konteks Malaysia.

“Apa yang penting adalah komitmen dan kesungguhan yang berterusan untuk mengetengahkan nilai-nilai murni sejagat sifatnya daripada pelbagai agama dan budaya untuk memantapkan perpaduan dan saling memahami antara penganut pelbagai agama,” kata beliau.

Md Farid turut menerima resolusi yang diputuskan di akhir seminar kebangsaan ini.