Hanya 435,000 majikan berdaftar dengan Perkeso jaga hak pekerja, kata Wan Azizah

Hanya 435,000 majikan berdaftar dengan Perkeso jaga hak pekerja, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri menyeru agar majikan-majikan di negara ini mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, daripada 740,000 majikan yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya 435,000 majikan yang aktif dengan Perkeso

“Saya menyeru kepada segelintir majikan-majikan yang belum berdaftar supaya segera melakukan demikian dan mencarum untuk pekerja anda demi hak kebajikan mereka terbela,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Parlimen hari ini.

Beliau juga hari ini telah menyampaikan bantuan kepada suami rakyat Malaysia Siti Nur Iesmawida Ismail yang maut dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia.

Mohd Hafiz Mohd Kassim menerima pencen penakat Perkeso sebanyak RM814.88 setiap bulan, berkuatkuasa serta merta dan  menerima bantuan sebanyak RM2,000 daripada Perkeso di bawah skim Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Mohd Hafiz dan ibu Nur lesmawida, Mazinah Mahmood.

Allahyarham telah memenuhi syarat cukup dan berkelayakan untuk Skim Keilatan di bawah Perkeso bagi melayakkan warisnya iaitu suami mangsa sebagai penerima Pencen Penakat untuk sepanjang hayat.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan cukup prihatin dan bersimpati dengan tragedi yang telah menimpa keluarga Nur lesmawida.

“Kita cukup bersimpati dengan tragedi ini, semoga bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga waris.

“Pada masa yang sama, antara objektif majlis ini diadakan adalah untuk meningkat kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang tanggungjawab mereka untuk mengambil tahu akan hak merea sebagaimana yang disediakan oleh kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan perusahaan mereka didaftar serta pekerja mereka dicarumkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Wan Azizah, kerajaan juga telah memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial kepada pemandu teksi yang beekrja sendiri dan pemandu perkhidmatan e-hailing di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Kita juga bercadang untuk memperluaskan liputan ini kepada rakyat dalam sektor ‘informal’ seperti petani, nelayan, penjaja, seniman dan seumpamanya,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran  dan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote