Malaysia Dateline

48 kes kematian baharu Covid-19

Sebanyak 48 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam mengikut Repositori data Github Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Angka korban itu menjadikan jumlah kumulatif pandemik tersebut kini mencecah 30,195 orang.

Daripada jumlah kematian baharu dilaporkan itu, 20.8 peratus atau 10 individu meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital (BID).

Walau bagaimanapun, tiada kematian baru dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Bilangan kematian baharu tertinggi di Kelantan dan Terengganu dengan masing-masing lapan orang, menyumbang satu pertiga daripada kematian baharu yang dilaporkan.

Angka maut lain ialah di Perak dan Sarawak masing-masing enam kes, Selangor (5), Sabah (4), Pahang (3), Kedah (2), Pulau Pinang (2), Johor (1), Melaka (1), Negeri Sembilan (1) dan Kuala Lumpur (1).