Kerajaan tidak akan bekukan aset YWP, kata Menteri Wilayah

Kerajaan tidak akan bekukan aset YWP, kata Menteri Wilayah

Kerajaan tidak akan membekukan semua hartanah milik Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Katanya,  gesaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng agar kerajaan membekukan semua hartanah tersebut adalah tidak perlu buat masa ini.

“Kerajaan terdahulu tidak melibatkan penyertaan semua ahli-ahli Parlimen, justeru itu saya berpandangan beliau (Lip Eng) tidak mengetahui segala urus niaga YWP sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pratonton Floria Diraja Putrajaya 2018 hari ini, lapor Utusanonline.

Lip Eng sebelum ini mempertikaikan YWP selaku badan kebajikan kerana boleh memiliki pelbagai hartanah seperti lot tanah, kediaman, rumah kedai dan pejabat sekitar Kuala Lumpur.

YWP adalah sebuah yayasan yang sepatutnya menjadi badan yang menjaga kebajikan penduduk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Namun begitu, kerajaan tidak memberikan sebarang peruntukan tahunan kepada yayasan ini menyebabkan mereka terpaksa menjalankan perniagaan sendiri bagi menyara perbelanjaannya dan menjalankan tugas membantu penduduk di wilayah.

Ketika negara di bawah Barisan Nasional (BN), YWP seolah-olah menjadi alat politik kepada Umno apabila semua bantuan kebajikannya dibuat melalui Umno bahagian dan tidak melibatkan wakil rakyat yang dipilih pada setiap kali pilihan raya.

 

Sebelum ini, YWP mendapat pelbagai harta dan peluang perniagaan dari kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menampung keperluan dan melaksanakan peranannya.

Ekoran itu, bagi wakil rakyat di Kuala Lumpur imej YWP sangat buruk dan tidak lebih hanya alat politik parti yang memerintah sahaja.

Ketika zaman BN, hampir kesemua ahli lembaganya pula adalah ketua-ketua bahagian Umno di Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Selepas BN jatuh, Menteri Wilayah Khalid Samad menjadi pengerusinya kerana Menteri Wilayah secara automatik adalah pengerusinya.

Bermula dari situlah, YWP memasuki era barunya apabila semua bantuan kebajikannnya mula dibuat melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam setiap kali pilihan raya.

11 wakil rakyat di Kuala Lumpur adalah dari Pakatan Harapan manakala Labuan dan Putrajaya masih dari Umno.

Walaupun begitu, imej lama YWP tetap terlekat padanya dan sukar untuk dipadamkan.

Kerana itu,  ahli parlimen Kepong tetap berpandangan serong kepada YWP ketika Khalid sebagai pengerusinya yang baru sedang berusaha memulihkan kembali imejnya.

COMMENTS

Wordpress (0)