Malaysia Dateline

490,000 kanak-kanak terjejas akibat banjir di Sudan Selatan, kata UNICEF

Hampir 490,000 kanak-kanak telah terjejas akibat banjir yang kini melanda Sudan Selatan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Unicef menyifatkan skop dan skala banjir yang berlaku ketika ini sebagai amat teruk terutama di Jonglei, Upper Nile, Warrap dan Bahr El Ghazal Utara.

“Di Sudan Selatan, air biasanya dikaitkan dengan kehidupan namun kini, ia membahayakan nyawa kanak-kanak,” kata Dr Mohamed Ag Ayoya, wakil Unicef di Sudan Selatan.

“Unicef amat bimbang dengan kesihatan kanak-kanak di kawasan terjejas dengan peningkatan wabak malaria dan penyakit yang berpunca daripada air seperti cirit-birit, dua penyebab kematian utama kanak-kanak di Sudan Selatan,” katanya.– BERNAMA