Malaysia Dateline

5 Deklarasi Kedamaian KL 2019 bukti komitmen negara menentang keganasan, kebencian

Sempena Himpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka pagi tadi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, turut mengisytihar lima deklarasi sebagai lambang komitmen negara menentang keganasan dan menolak kebencian.

Deklarasi yang dikenali sebagai ‘Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019’ itu, membawa mesej supaya dunia perlu dipertahankan daripada budaya kebencian yang boleh membawa kepada tindakan keganasan.

“Sesungguhnya sebarang tindakan keganasan itu tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama dan kaum kerana keganasan tiada beragama dan tidak pula lahir dari mana-mana kaum,” katanya.

Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 itu adalah seperti berikut:

1) Mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama
2) Menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama
3) Mendokong segala usaha menghidupkan kedamaian dan menyokong keharmonian antara kaum dan agama
4) Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan negara daripada diancam oleh anasir kebencian atas nama kaum dan agama.
5) Menyokong dan berganding bahu bersama warga dunia dalam usaha membina persekitaran berteraskan keamanan dan kedamaian berpaksikan pengiktirafan kepelbagaian kaum dan agama.

Perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu disertai 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam.

Perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini diadakan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu, di mana 50 orang terkorban, termasuk seorang rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi.